Halaman

Khamis, 22 Julai 2010

9 Panduan Bapa Menghadapi Saat Kelahiran



Peranan papa di dalam bilik bersalin bukan sekadar menemani si isteri. Lebih daripada itu, anda seharusnya menjadi pembakar semangat agar isteri terus kuat untuk melalui proses kelahiran. INTAN JASTINA JAMALUDDIN menggariskan panduan yang patut anda ikuti untuk bergelar penguat semangat yang paling hebat.

1. Tahu apa yang bakal berlaku

Pastikan anda dan isteri sudah memenuhkan dada dengan ilmu pengetahuan tentang kelahiran yang bakal dilalui nanti.

Oleh kerana itulah, anda dianjurkan untuk mengikuti kelas antenatal bersama-sama isteri. Kelas ini lazimnya ditawarkan oleh pihak hospital yang boleh disertai sejak dari awal usia kehamilan. Menerusi kelas tersebut anda berduaakan memperoleh pelbagai maklumat asas tetapi sungguh padat untuk dipraktikkan. Langkah ini amat penting untuk anda berdua meluaskan minda agar dapat menghadapi cabaran yang bakal timbul apabila tiba saatnya

Oleh kerana itulah, anda dan isteri perlu sentiasa memantau pergerakan kontraksi dengan mencatat setiap kontraksi yang berlangsung. Jadi, ia dapat memudahkan anda mengetahui apa yang sedang dan bakal berlaku. Luangkan masa-masa terakhir yang ada ini dengan menuruti apa sahaja yang isteri mahu anda lakukan demi memastikan dia kekal selesa. Sebagai contoh, anda bolehlah mengurutnya di bahagian-bahagian tubuh tertentu menggunakan minyak bayi ataupun minyak aromaterapi.

2. Bersedia untuk melaluinya

Kebanyakan wanita terutamanya hamil sulung perlu melalui proses bersalin yang lebih panjang sebelum selamat melahirkan. Sesungguhnya, adalah lebih baik dan selesa jika isteri anda melalui tahap awal proses bersalin di rumah sahaja. Lagipun, kebanyakan hospital tidak menerima pesakit melainkan kontraksi yang dialami adalah tetap dan berlaku setiap lima minit.

3. Fleksibel

Tidak semua wanita hamil akan melalui pengalaman bersalin yang sama. Dengan itu, anda dan isteri perlu sama-sama berbincang tentang kemungkinan yang bakal berlaku dan apakah pilihan yang ada bagi mengatasinya. Gunakan pengetahuan yang telah anda berdua kumpul ketika menyertai kelas antenatal dahulu. Apabila tiba masanya nanti, anda sudah tahu apa yang patut diputuskan. Namun, persiapkan juga mental, fizikal mahupun ekonomi untuk melalui apa jua perubahan drastik yang mungkin hadir tanpa disedari.

4. Usah ambil hati

Mana-mana wanita akan berubah sikap apabila melalui proses kelahiran terutamanya di tahap terakhir. Ini kerana kesakitan dan keletihan yang dialaminya membuatkan dia mudah hilang pertimbangan diri. Apatah lagi jika proses itu memakan masa yang sangat panjang. Di awal tahap proses bersalin dia mungkin suka diurut. Namun, ada kemungkinan juga di tahap terakhir, dia beranggapan urutan anda menambahkan kesakitan yang dirasainya. Tanpa disedari dia mungkin bersikap atau berbicara kasar. Jadi, janganlah mudah terasa dengan sikap atau kata-katanya itu.

5. Siapkan keperluan diri

Kebanyakan wanita hamil disarankan untuk mempersiapkan beg khas yang mengandungi pelbagai kelengkapan diri dan bayi bagi menghadapi proses kelahiran sebelum tarikh jangkaan bersalin. Memandangkan anda juga akan bermalam di hospital, jadi apa kata anda sendiri menyediakan beberapa kelengkapan diri sendiri. Contohnya pakaian sejuk, stoking, bantal, makanan ringan dan lain-lain.

6. Bertanya soalan

Tidak semua doktor yang mengendalikan isteri anda sudi menerangkan secara terperinci setiap permasalahan yang dihadapi. Jadi, jangan malu untuk bertanya kepadanya apa sahaja yang mengusutkan fikiran anda. Sekurang-kurangnya, dengan maklumat yang diperoleh, anda dapat membantu isteri untuk berada dalam keadaan yang lebih selesa apatah lagi jika dia kini tidak lagi punya kekuatan untuk bertanya itu dan ini.

7. Pendorong semangat

Tidak semua wanita hamil kuat dalam menghadapi ujian yang perlu ditempuhinya sepanjang proses bersalin. Jadi, sebagai suami anda perlu terus kuat dan tidak putus-putus menitipkan kata-kata semangat kepadanya. Kekuatan yang ada pada diri anda sangat penting ketika isteri sedang berperang dengan kontraksi dan terutamanya di waktu isteri sedang meneran untuk mengeluarkan bayi.

8. Bantu kekalkan fokus

Praktikkan apa yang telah anda pelajari di dalam kelas antenatal. Bagi menenangkan isteri dan membantunya kekal fokus, anda boleh meminta isteri mengaplikasikan teknik pernafasan, mengubah posisi ataupun anda sendiri boleh menawarkan diri untuk mengurut bahagian tubuh yang tidak selesa.

9. Berterus-terang

Banyak perkara bakal berlaku di dalam bilik bersalin. Ketahui apa yang perlu dan mahu anda lakukan sepanjang proses itu berlangsung. Sebagai contoh, jika anda tidak selesa untuk memotong tali pusat bayi, katakan sahaja anda tidak sudi melakukannya kepada jururawat mahupun doktor yang bakal menyambut kelahiran bayi anda nanti.

Sumber : Majalah Pa & Ma online

1 ulasan:

Hariz berkata...

Lambat lagi.
Kena study dulu nie :P


New Entry Prof-Hariz
Ahhh!! Seksanya Gadis Banyak Air

Catatan Popular